Selasa, 14 Disember 2010

Dunia Bisnes Orang Cina (3)


Dunia orang Cina adalah dalam bidang perniagaan. Mereka suka dan minat berniaga. Orang cina juga percaya dengan hanya berniaga, mereka boleh menjadi kaya dan meningkatkan taraf hidup. Berniaga boleh menjadikan mereka golongan yang dinamik. Dunia perniagaan tiada sempadan. Setiap orang boleh bergerak bebas didalamnya. Berniaga dapat meningkatkan kemahiran komunikasi, interaksi dan hubungan interpersonal. Orang yang berniaga tidak akan dipandang rendah. Mereka juga tidak perlu takut hilang pekerjaan. Tidak ada benda yang harus mereka risaukan kecuali menjaga hati pelanggan dan memahami kehendak pasaran.
Orang Cina dan perniagaan sudah sebati serta menjadi suatu entiti yang tidak dapat dipisahkan. mereka yang berniaga, bekerja untuk diri sendiri. Ini lebih baik dari bekerja untuk orang lain. Orang yang bekerja makan gaji dianggap belum dewasa. Mereka yang berniaga dianggap sudah matang dan sering menjadi tempat rujukan. Terdapat juga yang diangkat menjadi pemimpin masyarakat, persatuan dan parti politik. Dunia perniagaan menjanjikan banyak harapan dan peluang. Semuanya tersaji untuk mereka dan tidak ada sebab untuk dibiarkan begitu sahaja. Peniaga adalah golongan istimewa dan berada dalam kelasnya yang tersendiri. Mereka membentuk komuniti yang penting dalam masyarakat Cina, malah menjadi identiti, simbol dan imej kepada orang Cina.
Master: Sekiranya kerajinan kita sama seperti orang Barat, kita tidak akan dapat menyaingi mereka.

Dunia Bisnes Orang Cina (2)


Berniaga sama seperti belajar, ia adalah proses yang berterusan. Tidak ada istilah berhenti dan dihentikan. Hanya si peniaga itu yang dapat membuat keputusan berkenaan apa yang perlu dilakukannya. Tidak ada siapa pun yang dapat memberikan kata putus bagi diri kita. Peniaga yang mempunyai orientasi niaga yang jelas akan berusaha bagi memantapkan perniagaannya. Mereka tidak kisah jika terpaksa bekerja lebih kuat dan lebih lama berbanding orang lain. Mereka tidak mengendahkan kata-kata orang. Mereka cuma manusia biasa yang melakukan benda-benda yang luar biasa. Kemiskinan, kesusahan dan ketiadaan modal tidak sedikit pun menggugat usahanya.
Kebanyakan peniaga Cina berasal dari keluarga yang miskin dan tidak berpendidikan tinggi. Ada diantara mereka merupakan golongan imigran yang datang dari China tanpa sebarang pengalaman berniaga. Mereka tidak mempunyai sanak saudara dan ada yang datang menggunakan tongkang dalam keadaan sehelai sepinggang. Ada yang buta huruf dan cacat anggota badan. Namun, itu semua bukan halangan untuk berjaya dan meraih kekayaan yang melimpah ruah dalam bidang perniagaan. Jauh disudut hati mereka berazam untuk mengubah nasib dan masa depan. Mereka lebih rela hidup dalam keadaan yang serba kekurangan. Mereka meletakkan orientasi bagi mencapai kejayaan yang cemerlang dan gemilang serta menjadi terbilang dalam dunia yang diceburi.

Master: Persepsi orang Cina dalam perniagaan adalah positif. Dunia niaga adalah dunia yang menjanjikan kesenangan, kemewahan dan kebahagiaan.

Dunia Bisnes Orang Cina (1)


Tokoh konglomerat Korea Selatan, Kim Woo-Choong pernah mengatakan, sekiranya kerajinan kita sama dengan orang Barat, kita tidak akan dapat menyaingi mereka. Jika kita mahu lebih berjaya daripada orang lain, kita tidak mempunyai pilihan kecuali bekerja dengan lebih kuat dan rajin. Inilah resepi yang diamalkan oleh kebanyakan tokoh korporat dan ahli perniagaan yang berjaya. Mereka berjaya hasil daripada usaha mereka yang bersungguh-sungguh. Kejayaan dan kekayaan yang mereka kecapi tidak datang dalam sekelip mata. Sebahagian besar daripada mereka memulakan usaha berniaga tanpa berbekalkan apa-apa melainkan semangat, keyakinan dan usaha yang tidak mengenal erti jemu.
Mereka yang sudah berjaya didapati masih bekerja kuat. Mereka bangun dan bekerja seawal pagi dan hanya masuk tidur menjelang tengah malam. Bilangan jam masa bekerja mengatasi bilangan kerja orang lain. Jika pekerja biasa bekerja antara 8 hingga 10 jam, mereka pula bekerja antara 16 hingga 18 jam sehari. Mereka bukan gila kerja. Tetapi kuat bekerja. Mereka mempunyai keghirahan yang tinggi terhadap pekerjaan. Seluruh usaha, tenaga dan tumpuan diberikan bagi mencapai matlamat yang ditetapkan. Mereka tidak pernah lari dan menyimpang dari fokus. Mereka juga tidak berhenti apabila berjaya mencapai matlamat kerana perjalanan dalam perniagaan terlalu jauh. Selepas satu destinasi, destinasi lain akan menunggu.
Master: Jika mahu lebih berjaya daripada orang lain, kita tidak mempunyai pilihan kecuali bekerja dengan lebih kuat dan rajin.

Pembukaan Restoran Taj Point China Town

















Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Restoran Taj Point kerana membuka sebuah cawangan di China Town, Kuantan, Pahang. Majlis pembukaan telah dilaksanakan pada 8 Disember 2010, tepat jam 8.30 malam. Majlis dimulakan dengan bacaan Doa Selamat dan Yaasin. Kemudian disajikan dengan makanan kegemaran ramai, iaitu Nasi Beriyani. Konsep restoran ini diberi nafas baru dengan menonjolkan konsep moden kontemporari yang amat menyenangkan & menyamankan pelanggan. Kami difahamkan bahawa konsep ini nanti akan digunapakaikan di setiap cawangan Restoran Taj Point.

Master: Lokasi yang strategik & konsep moden kontemporari adalah tarikan utama restoran ini selain daripada variasi menu yang disajikan.

Isnin, 6 Disember 2010

Sejarah Bisnes Orang Cina (4)


Orang Cina sentiasa berpandangan jauh dan mereka tidak akan membiarkan keadaan menjadi statik. Perniagaan orang Cina sentiasa berkembang. Meraka cepat dan cekap mendakap peluang niaga yang baru. Untuk berkembang, orang itu perlu berhijrah bukan sahaja secara fizikal tetapi juga mental, jiwa dan pendekatan. Kesediaan seseorang itu berubah adalah kunci utama kejayaannya.
Sejarah niaga orang Cina menunjukkan banyak perubahan besar dan mendesak. Bandingkan sejarah awal kedatangan orang Cina ke Malaysia dengan kedudukan orang Cina dewasa ini. Kita akan dapati, antara generasi pertama yang mula-mula datang dengan generasi yang seterusnya memperlihatkan perbezaan yang cukup besar. Di sebalik perbezaan itu, mereka mempunyai satu persamaan iaitu semangat sebagai mekanisme bagi mengukuhkan ekonomi peribadi, keluarga, komuniti dan sebagainya.
Master: Sejarah perniagaan orang Cina bermula dalam bidang peruncitan. Daripada bidang inilah orang Cina memperoleh pengalaman dan kemahiran bagi menghadapi pelbagai karenah manusia.

Sejarah Bisnes Orang Cina (3)


Sejarah perniagaan orang Cina bermula dalam bidang peruncitan. Daripada bidang perniagaan inilah orang Cina memperoleh pengalaman dan kemahiran bagi menghadapi pelbagai karenah manusia. Mereka belajar mengendalikan pelanggan dan perhubungan awam secara praktikal. Begitu juga dengan kemahiran berkomunikasi, berunding dan mengurus yang semuanya diperolehi secara tidak formal. Sebab itulah, perniagaan orang Cina tidak melibatkan banyak formaliti dan karenah birokrasi. Mereka berusaha jadikan urusniaga itu semudah yang mungkin. Orang Cina tidak suka meremehkan suatu pekerjaan. Jika dapat, ia perlu diselesaikan dengan cepat tanpa banyak soal bicara.

Orang Cina sentiasa mencari peluang. Apabila mereka mendapati peluang memperkembangkan perniagaannya semakin terbatas, maka mereka akan mencari peluang di negara lain. Mereka akan menerokai pasaran baru asalkan mereka mudah mencari makan. Sikap suka berhijrah orang Cina tidak seharusnya dijadikan hujah mengatakan orang Cina tidak setia pada negara. Mereka berhijrah kerana faktor ekonomi seperti mana peringkat awal kedatangan mereka ke Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina dan sebagainya. Tindakan orang Cina meninggalkan Malaysia pada pertengahan tahun 1980-an semasa berlakunya kemelesetan ekonomi yang serius menyebabkan kesetiaan orang Cina dipertikai.

Tindakan itu dianggap sebagai tidak petriotik. Bagi orang Cina, mereka berbuat demikian bukan kerana tidak cintakan negara. Tetapi kerana mereka perlu meneruskan hidup dan terus melangkah ke hadapan. Mereka berpindah ke Australia, Kanada, Amerika dan Eropah dengan meninggalkan keluarga masing-masing. Apa yang mereka lakukan adalah mengulangi proses kedatangan nenek moyang mereka ke Tanah Melayu. Evolusi sejarah ini akan terus berlaku bagi memenuhi tuntutan putaran ekonomi dunia yang sentiasa berubah. Orang Cina adalah bangsa yang paling flexible, mudah berubah dan menyesuaikan diri dengan apa sahaja keadaan. Mereka akan dapat hidup dan mencari makan walau dimana sahaja mereka berada. Ini salah satu kepandaian dan kemahiran orang Cina.
Master: Perniagaan orang Cina tidak banyak karenah birokrasi dan formaliti. Mereka berusaha menjadikan urusniaga itu semudah yang mungkin

Sejarah Bisnes Orang Cina (2)

Orang Cina menguasai seluruh ruang lingkup perniagaan daripada perniagaan yang berskala kecil sehingga kepada penguasaan syarikat yang bertaraf konglomerat. Sejarah yang dilalui oleh orang cina untuk menjadi peniaga yang berjaya penuh dengan seribu satu liku. Mereka datang ke Asia Tenggara dibawa oleh penjajah British dan Belanda supaya bekerja di lombong dan ladang-ladang. Kedatangan orang Cina membawa banyak perubahan kepada struktur, sistem dan senario ekonomi di rantau ini. Pada awalnya, mereka datang sekadar hendak mencari makan dan selepas itu akan pulang ke negara asal dan kampung halamannya. Orang Cina datang tanpa membawa keluarga. Tujuan mereka adalah mencari dan mengumpul duit. Dengan wang yang diperolehi itu, mereka berharap dapat menampung keluarga.

Mereka berhijrah kerana terpengaruh dengan cerita yang mengatakan betapa mudahnya mencari duit di Asia Tenggara. Rantau ini ibarat lombong emas yang dapat menjadikan seseorang itu kaya-raya. Apa yang diperlukan adalah tenaga empat kerat, kerja kuat dan rajin berusaha. Apabila mereka sampai ke sini, segala gambaran yang diperoleh hanyalah indah khabar dari rupa. Kehidupan di rantau orang tidak mudah dan sesetengahnya terpaksa bekerja sebagai kuli sepanjang hayatnya. Pendapatan yang mereka perolehi amat sedikit tidak sejajar dengan bebanan kerja yang mereka lakukan.

Namun keadaan ini lebih baik daripada mati kelaparan di negara asalnya. Di sini mereka boleh makan kenyang. Asalkan rajin, mereka tidak akan kebuluran. Kesusahan yang didiami itu akhirnya membantu orang Cina berjaya dalam perniagaan. Mereka sudah biasa berhadapan dengan situasi yang sukar dan sebarang bentuk masalah yang dihadapinya dalam perniagaan tidak sedikit pun menggugat dan mengganggunya.
Master: Jika dahulu bapanya berniaga air di tepi jalan, maka anaknya akan membuka restoran dan barangkali cucunya akan membuka kilang menghasilkan air dalam tin.

Sejarah Bisnes Orang Cina (1)


Semasa negara kita mencapai kemerdekaan, identiti kaum dibuat berdasarkan bidang pekerjaan yang diceburi. Orang Melayu dikaitkan dengan sektor pertanian dan bekerja sebagai petani. Orang cina pula berniaga dan mendiami kawasan bandar. Orang India tinggal di estet dan bekerja dalam sektor perladangan. Selepas hampir lima dekad negara merdeka, identiti kaum berdasarkan sektor pekerjaan mula hilang. Semakin ramai orang Melayu dan India menceburi bidang perniagaan. Manakala di kalangan orang Cina, perniagaan terus menjadi teras kepada pekerjaan utama mereka.

DEB yang diperkenalkan pada awal tahun 1970-an berjaya melahirkan sejumlah usahawan, ahli perniagaan dan tokoh korporat di kalangan penduduk bumiputera sama ada yang beragama Islam ataupun tidak. Sekaligus membuktikan betapa perniagaan adalah bidang yang boleh dipelajari dan tidak semestinya dimonopoli oleh mana-mana kaum. Namun begitu, usaha bagi memecahkan penguasaan orang Cina dalam bidang ekonomi masih tidak dapat dilakukan sehingga kini. Ini kerana, hubungan perniagaan orang Cina begitu rapat sekali sehingga tidak dapat dipisahkan apabila kita bercakap berkenaan kaum itu.
Master: Sejarah yang dilalui oleh orang Cina untuk menjadi peniaga yang berjaya penuh dengan seribu satu liku