Sabtu, 9 April 2011

Bengkel dimodenkan untuk difrancaiskan



BANDUNG, 8 April (Bernama) -- Bengkel motosikal di Malaysia akan diubah wajah dan dipermodenkan menjadi pusat perkhidmatan yang lebih sistematik, cekap dan bersih melalui sistem francais, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Beliau berkata usaha itu akan dilaksanakan secepat mungkin sebaik pihak kementerian memuktamadkan rundingan dengan syarikat pemegang francais Motor X-TRA dari Indonesia. "Permodenan bengkel-bengkel motosikal ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan dalam transformasi bengkel-bengkel kereta dan motosikal di seluruh negara untuk menjadikan perniagaan ini lebih bersistematik dan lebih menguntungkan," katanya selepas mendengar taklimat mengenai francais Moto X-TRA di sini Jumaat. Ismail Sabri berkata pihaknya juga sedang berunding dengan Kementerian Kewangan untuk menyediakan pinjaman mudah kepada para pengusaha bengkel motosikal terbabit bagi membolehkan mereka mereka memulakan francais Motor X-TRA. "Penyediaan pinjaman mudah dirasakan lebih realistik untuk mempercepatkan proses pengeluaran pinjaman melalui bank-bank yang ditetapkan, berbanding subsidi faedah yang mungkin menimbulkan masalah kepada pengusaha bengkel disebabkan syarat-syarat ketat yang dikenakan oleh bank," katanya. Beliau berkata pembukaan bengkel motosikal menggunakan sistem francais Motor X-TRA tidak memerlukan modal yang besar hanya dalam anggaran antara RM30,000 dan RM35,000 dan ia boleh memberi manfaat kepada para pengusaha bengkel di luar bandar dan kawasan Felda. Mengenai usaha memodernkan bengkel kereta, beliau berkata projek perintis telah dimulakan di Kuala Lumpur, namun ia memerlukan modal yang lebih besar kira-kira RM100,000. Ismail Sabri yang berada di sini untuk lawatan kerja selama tiga hari, dan pada sebelah pagi menyampaikan ucaptama pada Expo Konsep Perniagaan Francais 2011 di Graha Manggala Siliwangi di sini berkata kementeriannya mensasarkan 30 bengkel termasuk kereta dan motosikal dapat dipermodenkan menjelang akhir tahun ini. Beliau yang tertarik dengan konsep francais Motor X-TRA berkata pihaknya juga sedang menimbangkan untuk menggunakan francais berkenaan dalam latihan di Pusat Giatmara bagi melahirkan mekanik yang berkemahiran untuk bekerja di bengkel-bengkel motosikal berkonsep moden itu, sebelum mereka memulakan perniagaan sendiri kemudiannya. Ismail Sabri juga berkata penglibatan Malaysia dalam ekspo francias di Indonesia telah membolehkan sejumlah 15 syarikat francais membuka perniagaan mereka di Indonesia, dengan sebahagian besar daripadanya dalam bidang makanan. Pada masa yang sama sejumlah syarikat francais Indonesia juga telah dapat membuka perniagaan mereka di Malaysia melalui penyertaan mereka dalam ekspo francais di Malaysia. -- BERNAMA


Master: setiap perniagaan sebenarnya boleh difrancaiskan kerana konsep francais sangat praktikal untuk semua jenis bidang perniagaan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan