Isnin, 6 Disember 2010

Sejarah Bisnes Orang Cina (2)

Orang Cina menguasai seluruh ruang lingkup perniagaan daripada perniagaan yang berskala kecil sehingga kepada penguasaan syarikat yang bertaraf konglomerat. Sejarah yang dilalui oleh orang cina untuk menjadi peniaga yang berjaya penuh dengan seribu satu liku. Mereka datang ke Asia Tenggara dibawa oleh penjajah British dan Belanda supaya bekerja di lombong dan ladang-ladang. Kedatangan orang Cina membawa banyak perubahan kepada struktur, sistem dan senario ekonomi di rantau ini. Pada awalnya, mereka datang sekadar hendak mencari makan dan selepas itu akan pulang ke negara asal dan kampung halamannya. Orang Cina datang tanpa membawa keluarga. Tujuan mereka adalah mencari dan mengumpul duit. Dengan wang yang diperolehi itu, mereka berharap dapat menampung keluarga.

Mereka berhijrah kerana terpengaruh dengan cerita yang mengatakan betapa mudahnya mencari duit di Asia Tenggara. Rantau ini ibarat lombong emas yang dapat menjadikan seseorang itu kaya-raya. Apa yang diperlukan adalah tenaga empat kerat, kerja kuat dan rajin berusaha. Apabila mereka sampai ke sini, segala gambaran yang diperoleh hanyalah indah khabar dari rupa. Kehidupan di rantau orang tidak mudah dan sesetengahnya terpaksa bekerja sebagai kuli sepanjang hayatnya. Pendapatan yang mereka perolehi amat sedikit tidak sejajar dengan bebanan kerja yang mereka lakukan.

Namun keadaan ini lebih baik daripada mati kelaparan di negara asalnya. Di sini mereka boleh makan kenyang. Asalkan rajin, mereka tidak akan kebuluran. Kesusahan yang didiami itu akhirnya membantu orang Cina berjaya dalam perniagaan. Mereka sudah biasa berhadapan dengan situasi yang sukar dan sebarang bentuk masalah yang dihadapinya dalam perniagaan tidak sedikit pun menggugat dan mengganggunya.
Master: Jika dahulu bapanya berniaga air di tepi jalan, maka anaknya akan membuka restoran dan barangkali cucunya akan membuka kilang menghasilkan air dalam tin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan