Isnin, 6 Disember 2010

Sejarah Bisnes Orang Cina (3)


Sejarah perniagaan orang Cina bermula dalam bidang peruncitan. Daripada bidang perniagaan inilah orang Cina memperoleh pengalaman dan kemahiran bagi menghadapi pelbagai karenah manusia. Mereka belajar mengendalikan pelanggan dan perhubungan awam secara praktikal. Begitu juga dengan kemahiran berkomunikasi, berunding dan mengurus yang semuanya diperolehi secara tidak formal. Sebab itulah, perniagaan orang Cina tidak melibatkan banyak formaliti dan karenah birokrasi. Mereka berusaha jadikan urusniaga itu semudah yang mungkin. Orang Cina tidak suka meremehkan suatu pekerjaan. Jika dapat, ia perlu diselesaikan dengan cepat tanpa banyak soal bicara.

Orang Cina sentiasa mencari peluang. Apabila mereka mendapati peluang memperkembangkan perniagaannya semakin terbatas, maka mereka akan mencari peluang di negara lain. Mereka akan menerokai pasaran baru asalkan mereka mudah mencari makan. Sikap suka berhijrah orang Cina tidak seharusnya dijadikan hujah mengatakan orang Cina tidak setia pada negara. Mereka berhijrah kerana faktor ekonomi seperti mana peringkat awal kedatangan mereka ke Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina dan sebagainya. Tindakan orang Cina meninggalkan Malaysia pada pertengahan tahun 1980-an semasa berlakunya kemelesetan ekonomi yang serius menyebabkan kesetiaan orang Cina dipertikai.

Tindakan itu dianggap sebagai tidak petriotik. Bagi orang Cina, mereka berbuat demikian bukan kerana tidak cintakan negara. Tetapi kerana mereka perlu meneruskan hidup dan terus melangkah ke hadapan. Mereka berpindah ke Australia, Kanada, Amerika dan Eropah dengan meninggalkan keluarga masing-masing. Apa yang mereka lakukan adalah mengulangi proses kedatangan nenek moyang mereka ke Tanah Melayu. Evolusi sejarah ini akan terus berlaku bagi memenuhi tuntutan putaran ekonomi dunia yang sentiasa berubah. Orang Cina adalah bangsa yang paling flexible, mudah berubah dan menyesuaikan diri dengan apa sahaja keadaan. Mereka akan dapat hidup dan mencari makan walau dimana sahaja mereka berada. Ini salah satu kepandaian dan kemahiran orang Cina.
Master: Perniagaan orang Cina tidak banyak karenah birokrasi dan formaliti. Mereka berusaha menjadikan urusniaga itu semudah yang mungkin

Tiada ulasan:

Catat Ulasan