Jumaat, 11 Mac 2011

Program Pembangunan Francais mampu menjadi pemangkin Bagi menjayakan MBE



KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) --Program Pembangunan Francais mampu menjadi pemangkin bagi menjayakan Model Baru Ekonomi (NEM) berikutan kejayaanya mencatatkan nilai jualan RM10.2 bilion antara 2006 hingga 2008.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata terdapat 499 francaisor berdaftar dengan Pendaftar Francais yang melibatkan 6,323 francaisi setakat 22 Feb tahun ini.
"Peningkatan ini membuktikan bahawa perniagaan francais telah mula mendapat tempat di kalangan para usahawan sebagai salah satu cabang keusahawanan yang berdaya maju," katanya pada Majlis Pelancaran Program Francais Usahawan Muda 1Malaysia di sini pada Rabu.
Ismail Sabri berkata kementerian akan giat memperkasakan strategi pelaksanaan melalui program (Pembangunan Francais) itu untuk menjadikan industri itu sebagai pilihan utama usahawan yang berhasrat menceburi bidang perniagaan.
Beliau berkata Perbadanan Nasional Bhd (PNS) akan memainkan peranan yang sangat penting dalam melahirkan para usahawan francais seiring dengan perkembanganya yang semakin meningkat."Dalam tempoh 2006 hingga 2008, seramai 270 usahawan telah berjaya untuk menjadi francaisi melalui skim pembiayaan yang ditawarkan oleh PNS," katanya.
"Kita sentiasa menggalakkan golongan belia dan graduan baharu untuk memilih perniagaan francais sebagai kerjaya pilihan setelah tamat pelajaran," kata Ismail Sabri.
Pelancaran Program Francais Usahawan Muda 1Malaysia itu dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Program yang berlansung selama dua hari hingga Khamis itu bertujuan memberi pemahaman dan kesedaran kepada rakyat Malaysia mengenai perniagaan francais.-- BERNAMA
Master: untuk sebarang maklumat berkenaan program Pembangunan francais ini, bolehlah layari laman web: pns.com.my

Tiada ulasan:

Catat Ulasan